MAC 2022

MA63: Rakyat Yakin Perjuangan GPS - Uggah


SPAOH: Rakyat Sarawak kini lebih yakin dan menghargai usaha kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperjuangkan dan memulihkan hak yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata sokongan padu mereka terhadap GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 lalu, menyaksikan GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan membuktikan penghargaan dan keyakinan itu.

“Rakyat Sarawak lebih yakin dengan kemampuan pemimpin parti politik tempatan di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memperjuangkan hak kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat agung perwakilan tritahunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Ranting Babu, Ranting Bangkit dan Ranting Suri, di sini.

Uggah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB berkata, rakyat tidak begitu yakin dengan pemimpin parti luar untuk memikul tanggungjawab itu.

“Oleh itu, mereka kurang bersemangat untuk mengundi calon mereka," tambahnya.

Beliau juga memberi jaminan kepada rakyat negeri itu yang GPS akan meneruskan perjuangan, justeru amat penting rakyat memberi sokongan padu.

"Kami telah membuat beberapa pencapaian hebat seperti cukai jualan Petronas ke atas petrol dan produk petroleum. Perbincangan berterusan mengenai hak-hak lain," katanya.

Sementara itu, Uggah menambah keputusan menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier Sarawak adalah satu lagi langkah penting.

“Ini untuk membezakan Sarawak dengan negeri lain dalam Malaysia. Kita adalah wilayah lain selain Sabah yang membantu membentuk Malaysia.Ini adalah satu lagi permulaan yang baik untuk kami teruskan perjuangan,"katanya.

Kapsyen:

Datuk Amar Douglas Uggah merasmikan mesyuarat tritahunan Parti PBB Ranting Bangkit dan Ranting Suri.

Sumber dari : Jiwa Bakti